Sunday, 21 August 2011

mencapai kemuncak ibadah PUASA


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum...
Alhamdulillah...


Ada terdapat 3 jenis peringkat puasa.

Hari ini ingin sekali sy berkongsi sesuatu drpd Kitab ‘Ihya Ulumiddin’. Apa itu Kitab ‘Ihya Ulumiddin’ Imam Ghazali??? ia adalah sebuah kitab tasawur yang menyebut :Puasa ada tiga kedudukan:

*Puasa umum,
*Puasa khusus
*Puasa khusus al-khusus.

Peringkat pertama:
*Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada kehendak syahwat di siang hari . Puasa peringkat ini adalah paling rendah iaitu puasa orang awam mereka hanya sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa.

Peringkat kedua:
*Puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari melakukan dosa. Puasa di peringkat ini pula adalah di tingkatan kedua iaitu puasa golongan khas. Pada peringkat ini akan mereka cuba menjaga akhlak dan melakukan pekara-perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasanya.

Peringkat ketiga :
*Puasa Khusus al-khusus ialah menahan hati dari keinginan yang buruk dan dari memikirkan sesuatu selain dari Allah . Puasa akan terbatal yakni rosak dari sudut rohani walaupun puasa sah pada zahirnya lantaran memikirkan perkara-perkara selain dari Allah dan hari akhirat..

Puasa seperti ini ialah peringkat para nabi, al-Siddiqin dan al-Muqarrabin. Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.

Di peringkat ini adalah di tingkatan ketiga iaitu puasa yang paling khas. Mereka bukan sahaja menjaga segala perkara yang membatalkan puasa tetapi juga perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Anggota badan turut berpuasa dan hati pula sentiasa berzikir kepada ALLAH, subhanallah!!. Antara akhlak bagi mencapai peringkat ini ialah menjaga lidah dan mulut. Orang yang berpuasa perlu menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia.

Latihan mencapai puasa peringkat yang ketiga
Untuk mencapai peringkat puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh maka perlu menyempurnakan 6 perkara iaitu:

Menundukkan pandangan dan menahan dari melihat perkara yang tercela dan dibenci oleh syariat serta dari segala perkara yang boleh menggangu dan melalaikan hati dari mengingati Allah S.W.T.

Memelihara lidah dari menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, memperbanyakkan zikir dan membaca al-Quran.


Menahan dari mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang diharamkan dituturkan maka haram juga didengar. Justeru, Allah Menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya:

Maksudnya:
“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).”
(Surah al-Maidah: 42)

Menahan anggota tubuh badan dari melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki dari perkara yang dilarang dan menahan perut dari perkara-perkara syubhat ketika berbuka. Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahannya dari makanan halal tetapi berbuka dengan makanan haram.

Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan tersebut. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah dari perut yang penuh dengan makanan halal. Bagaimana mungkin seseorang itu mampu mematahkan keingginan syahwatnya dan mengalahkan musuhnya sedangkan ketika berbuka ia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika ia berpuasa pada siang harinya. Hingga sesetengah mereka memakan makanan yang tidak biasa dimakannya ketika hari tidak diwajibkan berpuasa.


Hendaklah timbul dalam hatinya rasa takut dan penghargaan kepada Allah, kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima oleh Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya, ataupun puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang yang celaka.

semoga ibadat puasa lebih bernila

Alhamdulillah...
Sekian saja dr Mawar Biru...

Waallahu'alam...

No comments:

Post a Comment